Friday, January 20, 2012

Kebaikan Program Latihan Khidmat Negara

Kerajaan Malaysia telah melancarkan Program Latihan Khidmat Negara bagi para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berusia 18 tahun. Program yang mengandungi empat modul iaitu modul fizikal, modul kegemaran, modul kenegaraan, modul perwatakan dan modul khidmat sosial ini membawa banyak kebaikan. Program ini bukan sahaja berguna untuk diri peserta tetapi berguna juga untuk masyarakat dan negara.
Program Latihan Khidmat Negara dapat menanamkan sikap cinta akan negara. Melalui modul kenegaraan, para peserta akan didedahkan dengan kesusahan para pejuang nasionalisme untuk membebaskan tanah air. Para peserta juga diberikan maklumat tepat mengenai isu-isu kenegaraan. Apabila perkara ini didedahkan, rasa tanggungjawab untuk mempertahankan dan membangunkan negara dapat ditanamkan dalam jiwa peserta. Semangat patriotik dan jati diri mapan dapat dibentuk kerana peserta mengenali negara secara lebih dekat.
Kesukaran, cabaran dan ketegasan yang terpaksa ditempuhi oleh para peserta dapat melahirkan disiplin yang tinggi. Disiplin yang tinggi amat diperlukan kerana generasi muda kini berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya cabaran dalam menempuh era globalisasi. Latihan seperti meluncur secara ‘flying fox’, meniti di pagar elektrik, jadual akiviti yang padat dan mesti dipatuhi, berkawad, membaca peta dan menempuh halangan berperanan membina ketahanan mental, emosi dan spiritual. Aktiviti-aktiviti ini juga membentuk kemahiran, disiplin dalaman, memperkaya kekuatan dan memulihkan kelemahan diri.
Seterusnya, program ini menjadi pelopor sebuah agenda negara iaitu memupuk dan mengukuhkan perpaduan kaum. Aktiviti berkumpulan untuk menghadapi sesuatu cabaran, aktiviti menyelesaikan sesuatu masalah dan aktiviti membuat keputusan secara berkumpulan, dapat mempererat hubungan kaum. Langkah mewajibkan setiap khemah peserta dihuni oleh enam peserta kaum Melayu, tiga kaum Cina, seorang kaum India atau kaum lain dapat membentuk persahabatan dan saling memahami. Program ini dapat mengukuhkan semangat toleransi antara kaum dan akhirnya bakal merapatkan jurang perbezaan kaum dan agama.
Kesimpulannya, Program Latihan Khidmat Negara dapat mengukuhkan jati diri seseorang. Warganegara yang matang, bersemangat dan sanggup berkorban dapat diwujudkan. Program ini sebenarnya bakal memperkasa semangat patriotic, memantapkan disiplin dan meningkatkan integrasi nasional. Akhirnya, program ini akan melahirkan rakyat yang terampil untuk merealisasikan Wawasan 2020.

No comments:

Post a Comment